Sunday, July 5, 2009

Idealisme Mahasiswa

Pelbagai tohmahan dan kecaman diberikan kepada mahasiswa kebelakangan ini kerana 'idealisme' yang mereka perjuangkan. Tak kurang juga, ada pihak yang memuji golongan ini kerana perjuangan mereka. Percanggahan ini semakin hari mewujudkan krisis yang kritikal di dalam hati mahasiswa. Mereka terperangkap di antara mahu dan takut akibat persepsi-persepsi yang terbina ini. Jika dituduh bersalah, akan dikenakan tindakan undang-undang yang akan menggugat masa depan, tetapi jika tidak buat apa-apa, siapa lagi mahu berjuang?

Rasa terkongkong ini menyebabkan dua tindakan diambil oleh mereka, sama ada terus berjuang dan menjadi idealis, ataupun terus meninggalkan perjuangan dan menjadi mahasiswa tempang. Fahaman tentang idealisme mahasiswa yang sebenar perlu diterapkan ke dalam diri setiap mahasiswa, lebih-lebih lagi mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang mahasiswa. Tanpa fahaman yang tulen dan telus, maka terjerumuslah mereka ke dalam lembah kejumudan dan ekstrimisme. Muncullah kumpulan 'khawarij' yang berjuang dengan cara kekerasan, minda tertutup, dan menganggap diri mereka sahaja yang betul.

Adakah ini makna idealisme mahasiswa?

Jika diperhatikan dengan lebih mendalam, idealisme mahasiswa seharusnya lebih jernih dan jelas. Idealisme, walaupun maksudnya dari segi bahasa ialah 'perjuangan ke arah kesempurnaan', sebenarnya membawa makna yang lebih besar. Kesempurnaan yang dimaksudkan perlulah diimbangi dengan realiti perekitaran. Apabila keseimbangan tercapai, maka inilah 'kesempurnaan yang sebenar'.

Maka, perkataan idealisme itu sendiri merupakan suatu 'open-end', tidak statik dan tidak kaku. Mahasiswa perlu sentiasa 'update' atau dinamik dalam menentukan idealisme yang mereka mahu pegang. Sebagai contoh, jika ada yang memperjuangkan kad raya, tetapi adakah kad raya masih relevan atau 'sempurna' dalam keadaan sekarang? Apabila mereka menemui jalan yang buntu, mereka seterusnya memperjuangkan dengan emosi, dan bukan lagi idealisme tulen.

Idealisme bertunjangkan kepada idea tulen, tulus, dan tidak dipengaruhi oleh emosi. Ia berdasarkan kepada pemikiran yang terbuka, berbekalkan bacaan yang banyak, pengalaman, dan pembelajaran. Oleh itu, budaya ilmu sangat penting dalam sesuatu perjuangan. Tanpa budaya ilmu, tempanglah perjuagan idealisme itu. Mahasiswa hanya akan dianggap 'bodoh' kerana berkelakuan 'bodoh' tanpa berpijak di bumi yang nyata.

Berlainan dengan idealisme yang berpaksikan ilmu, maka idealisme itu akan diterima oleh ramai orang. Sesetengah pemikir mengatakan,

"You can cheat some people sometimes, but you cannot cheat all people all the time"

Idealisme yang berasaskan ilmu akan terus menjadi perbualan dan mencetuskan fenomena zaman berzaman. Lihat sahaja idealisme mahasiswa pada zaman kegemilangan, sekitar tahun 60-an. Mereka memperjuangkan idelisme dengan hujah-hujah yang benar dan bernas, akhirnya menimbulkan fenomena yang besar. Sehinggakan dilabel mereka itu sebagai "Suara Rakyat" atau "Agen Pengubah".

Justeru, idealisme mahasiswa sekarang perlu sentiasa dinilai semula agar ia tidak ditinggal zaman. Mahasiswa mampu melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik, dan tidak semestinya melalui tindakan agresif dan bersifat 'anti-establishment'. Jika mahasiswa mampu memperbaiki idelisme mereka dan perjuanganya, maka mahasiswa akan kembali diangkat menjadi 'Agen Perubah' masyarakat, dan bukan pengacau masyarakat.

No comments:

Post a Comment