Sunday, August 2, 2009

Respon Awal Muktamar Belia Islam

Respon Awal Muktamar Belia Islam

Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah. Berakhir sudah MBI kali ke-38. Teka-teki dan harapan semuanya terjawab sudah. Alhamdulillah, peralihan berlaku dengan tenang dan tenteram. Tiada apa yang di luar jangkaan; semuanya sudah tersurat dan sudah menjadi budaya ABIM; yang patah tumbuh, yang hilang berganti. Tahniah dan takziah kepada yang terpilih memimpin gerakan belia Islam yang tersohor ini. Manakala yang pergi, terima kasih atas jasa dan budi menerajui gerakan ini. Mudah-mudahan berjumpa lagi di hari pembalasan dan kita semua berada di dalam kelompok mujahidin bersama para pejuang lain sepanjang zaman.
Allahlah yang menyediakan barisan pemegang panji perjuangan ini. Allah jualah yang menetapkan siapakah yang dikehendaki-Nya untuk dimuliakan atau dihina. Sudah menjadi fitrah bahawa sesiapa yang menyusuri jalan mujahidin, maka baginya amanah seorang mujahidin, dan baginya balasan yang setimpal. Juga sudah ditetapkan nama-nama yang akan menjadi pejuang agama-Nya, yang akan memelihara agama-Nya, dan yang akan mendapat redho-Nya jika dilaksanakan dengan baik. Maka bagi kita, adalah suatu hasrat supaya nama itu adalah nama kita, kerana secara tidak langsungnya, menunjukkan bahawa Allah mahu memberikan peluang kepada kita. Allah sedang mengaturkan jalan untuk kita. Apa lagi yang kita mahu, jika Allah, yang kita cintai itu, sedang memberikan ‘Perhatian-Nya’ kepada kita?

Rakan-rakan,
Peralihan yang berlaku daripada Saudara (Abang) Yusri Mohamad, kepada Saudara (Abang) Razak Idris adalah fitrah di dalam gerakan kita. Setiap yang pergi pasti akan digantikan. Inilah potensi yang ada di dalam gerakan ini, di mana jika dilihat dari segi kelebihannya, proses ini akhirnya akan melahirkan generasi yang kuat, dan bukan layu kaku. Menyedari bahawa setiap generasi perlu mempersiapkan diri masing-masing, secara psikologinya, maka pembinaan generasi itu akan dapat dijayakan. Sedarlah kita bahawa, di dalam gerakan seperti ini, pembinaan generasi adalah lebih utama berbanding pembinaan individu-individu dan pengaruh personal, seperti yang disebut oleh tokoh gerakan Islam, Ustaz Fathi Yakan sendiri. Tidak dapat tidak, setiap daripada kita perlu menjadikan agenda ‘Islah Nafsiy’ sebagai agenda besar diri sendiri, dan bersedia pada bila-bila masa untuk memikul tanggungjawab yang besar apabila syura menetapkannya nanti.
Sesungguhnya, tidak ada ‘U-turn’ di dalam amal Islamiy ini. Tidak ada istilah ‘Slow-down’ apabila berbicara tentang Jihad dan Taklifan Islam. Semenjak di dalam rahim ibu lagi, kita semua sudah berjanji secara ruhiyyah bahawa kita akan memikul amanah ini. Diperkukuhkan lagi setelah kita ‘aqil, kita menegaskan kembali kesetiaan kita kepada perjanjian asal itu. Maka apabila tiba masanya kita memegang panji perjuangan, adakah kita akan mendustakan perjanjian itu? Bersedialah, dan persiapkanlah diri masing-masing supaya apabila tiba masanya nanti, tiada lagi masalah untuk kita terus sambut dan memacu laju ke hadapan memecah benteng musuh.

Rakan-rakan,
Perubahan kepimpinan tidak bermaksud berubah arah tuju. Kepimpinan secara individu mungkin berubah, tetapi idelismenya tetap sama. Idealisme Islamik yang dipikul dari dahulu hingga sekarang tetap diteruskan. Pendekatannya mungkin sedikit berbeza, dari segi penegasannya atau taktiknya. Inilah aspek ‘Zhonn’ yang diharuskan untuk berbeza. Meskipun begitu, dalam kerangka gerak kerja islami jama’ie, maka aspek wala’ perlu dipertegaskan tatkala ada konflik berlaku.
Pada asasnya, kebelakangan ini pimpinan di bawah kendalian Abang Yusri banyak berkisar tentang pembinaan generasi Solahuddin Ayyubi, sehinggakan tema muktamar pada kali ini juga memberikan penegasan yang serupa. Ijtihad ini memberikan konotasi di mana sebenarnya, perjuangan Abim dari dahulu sehingga sekarang dan akan datang, adalah untuk menyediakan generasi Solahuddin Ayyubi untuk membebaskan umat Islam daripada kegersangan. Ia bukan sekadar pembebasan Palestin, atau mana-mana daerah, tetapi lebih besar daripada itu, membebaskan umat Islam daripada penjajahan nafsu dan syaitan. Apabila dikatakan Generasi Solahuddin, ia bermaksud ‘suatu generasi yang kuat, sehingga mampu mengalahkan tentera Salib’.
Mungkin Abang Yusri ingin memberikan ‘Penegasan Semula’ kepada halatuju gerakan kita. Ia bukanlah usaha yang baru, tetapi sebenarnya adalah usaha berterusan sejak dahulu lagi. Bahkan, sebenarnya, perjuangan ini adalah kesinambungan kepada perjuangan Rasulullah S.A.W lagi, dan perjuangan itu tidak akan berakhir selama-lamanya.

Rakan-rakan,
Apabila Abang Yusri menggagaskan contoh generasi yang akan dibentuk ialah serupa dengan Generasi Solahuddin, maka berlaku kegusaran di kalangan sesetengah anggota gerakan. Antara lain, mereka gusar jika ada di kalangan ahli yang kurang faham bahawa usaha ini tidak lari daripada perjuangan asal Abim, bahkan ia adalah penegasan semula perjuangan asal itu. Ada juga yang gusar, jika penerusan agenda ini tidak dapat dilakukan kerana kepimpinan akan silih berganti, dan umumnya setiap presiden akan membawa idea masing-masing. Sedangkan usaha pembinaan generasi adalah suatu usaha konsisten dan berterusan, tiada kompromi. Malangnya, tiada penerangan untuk merungkai persoalan kedua ini dilakukan buat masa ini. Yang pasti, Abang Razak akan memikul amanah ini dengan harapan menggunung bahawa usaha selama ini tidak akan tersia-sia.
Di dalam ucapan penangguhan Abang Razak, semacam ada penegasan bahawa idea Abang Razak akan berkisar pada dua bahagian; pertama, peningkatan prestasi produk-produk Abim, dan kedua, program-program menjenamakan Abim di peringkat nasional. Beliau nampaknya tidak menyebut secara spesifik tentang penerusan agenda membina generasi Solahuddin seperti yang dilaungkan oleh Abang Yusri. Namun, secara ‘fahamnya’, seperti yang disebutkan di atas, setiap yang dilakukan adalah sebenarnya untuk mendidik ummat supaya menjadi Khaira Ummah.
Ijtihad Abang Razak lebih kepada ‘memaksimumkan potensi’ yang sedia ada. Kita khuatir, jika penegasan berterusan tentang pembentukan generasi tidak dibuat, akhirnya idea ini akan tenggelam dan kita akan kembali kekeliruan. Ummat akan kembali tertanya-tanya, ke mana sebenarnya arah kita?
Sebenarnya, cara yang dilakukan oleh Abang Razak, lebih kepada penilaian dalaman sebelum merangka gerak kerja yang lebih tersusun. Memaksimumkan potensi Abim adalah suatu kewajipan pimpinan Abim. Usaha mendidik Ummat juga adalah suatu matlamat yang perlu diteruskan. Manakala, sampel Generasi Solahuddin sebagai simbolik ummat yang mahu dibentuk adalah gambaran yang perlu dibayangkan selalu.

Rakan-rakan,
Walau apapun perubahan yang berlaku di peringkat pimpinan tertinggi, amat wajar bagi kita memperkukuhkan pemahaman kita tentang perjuangan besar kita. Perjuangan ini bukanlah berbentuk individulistik, bahkan perjuangan yang berlandaskan ‘burhan’ yang ‘Qat’ie’, iaitu untuk melaksanakan Islah dan Tarbiah di muka bumi ini. Maka, sebagai anggota gerakan yang setia pada perjuangan ini, inilah perkara yang perlu dilakukan:
1) Memahami Islam sebagai Idealisme perjuangan;
2) Menjadi pejuang yang hebat dari segi amalan ruhaniyyah seperti tentera Solahuddin;
3) Mengamalkan gerak kerja jemaah dengan effisien;
4) Memberikan Wala’ selagi mana tidak bertentangan dengan Wala’ kepada Rasulullah;
5) Memahami dan melaksanakan misi gerakan dengan penuh hikmah;
6) Mengutamakan gerakan melebihi diri sendiri dan keluarga, kerana gerakan membawa maksud Islam, sedangkan diri dan keluarga kadang kala melalaikan.
Mudah-mudahan Islam menjadi sinar hidup kita. Mudah-mudahan Allah membantu kita. Mudah-mudahan kita beristiqamah. Dan mudah-mudahan kita mati di dalam gerakan Islam ini dan seluruh alam bersaksi kepada kita bahawa kita adalah hamba-Nya yang konsisten dalam menegakkan agama-Nya di atas muka bumi ini. Amin ya rabbal alamin…

AHMAD SAFWAN MOHAMAD
Amir (Pengelola) PKPIM-UIAM Kuantan,
2009/2010.

No comments:

Post a Comment