Tuesday, November 3, 2009

Mahu Merungut atau Merubah?

Seringkali dikatakan bahawa mahasiswa kini terlalu asyik dengan dunia mereka sendiri tanpa cakna kepada dunia luar. Setiap kali berlaku sesuatu di luar sana, mereka kerap kali mengatakan, "biarlah orang lain yang selesaikan." Sikap begini akhirnya menjerumuskan mereka ke lembah tidak ambil peduli. Keluar sahaja daripada universiti, mulalah menjadi kaku, tidak mampu berkata sesuatu.

Tiba masanya, mereka tersentak apabila perkara yang berlaku itu rupanya tempiasnya terkena juga pada diri mereka. Barulah mereka mahu bersuara. Tetapi, oleh kerana mereka tidak ada pengalaman semasa di universiti, mereka tidak tahu bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyuarakan rasa hati mereka. Akhirnya mereka menyumpah seranah ke sana-ke mari, bercakap besar di kedai kopi, atau paling tidak, meriuh rendah di bilik. Suara mereka tidak ke mana, hanya berlegar-legar di sekitar mereka. Tiada apa yang berubah.

Maka datang pula golongan ekstrimis yang berlagak pandai dalam semua benda. Mereka terus dengan lantang mengatakan, "Demonstrasi!" Bagaimana mahu berdemonstrasi? Apa matlamat demonstrasi mereka? Apa yang bakal berlaku? Itu semua di luar bidang pemikiran mereka. Lalu, apabila ditembak 'water canon', lari bertempiaran, menangis kekesalan.

Itulah fenomena dunia anak muda. Yang mahu berlaku baik, tidak kena caranya. Yang mahu menjahanam, memang tidak boleh diselamatkan. Yang lain, kekallah dalam kejahilan dan kedayusan mereka. Kenapa dayus? Kerana mereka tidak mahu berbuat apa-apa walaupun perkara itu berlaku di depan mata mereka. Lalu bagaimana untuk melakukan sesuatu?

Berbalik kepada persoalan di atas, "Mahu merungut atau merubah?" Merungut, seperti kanak-kanak kecil di bilik masing-masing. Tetapi merubah, memerlukan sedikit buah fikiran, tenaga, dan pengorbanan untuk perubahan itu berlaku. Lihatlah bagaimana yang berlaku di kampus kita ini.

Universiti ini sedang membangun, tetapi pelik sekali, dalam membangun kita meruntuh pula. Kita meruntuhkan kecintaan mahasiswa kepada universiti ini. Kita meruntuhkan rasa percaya mahasiswa kepada universiti ini. Kita meruntuhkan budaya yang sekian lama kita warisi dari universiti ini. Kita runtuhkan kelebihan mahasiswa di sini demi pembangunan yang tidak terurus.

Dahulunya polisi kita ialah memberikan penempatan penuh kepada mahasiswa di sini. Bagus sekali, kerana kita unik. Sekarang tidak lagi. Semua itu ditarik kembali, atas alasan ketidakmampuan. Apa tidaknya, pembangunan yang dirancang tidak tersusun. Pengambilan pelajar melipat kali ganda, tetapi persiapan tetap tidak ada.

Akhirnya mahasiswa berkeliaran mencari rumah di luar sana. Hampir ada sahaja yang tidak ada rumah. Ada pula pemilik yang mengambil kesempatan ke atas mahasiswa malang ini. Ada juga yang tinggal seperti sardin di dalam satu rumah. Mungkinkah kita menunggu sesuatu berlaku dahulu, sebelum tindakan susulan diambil?

Adakah perkara ini terfikir oleh pimpinan mahasiswa, MSC, MRC, dan SRC? Jika benar, apakah tindakan yang anda telah ambil? Bagaimana pula dengan mahasiswa yang lain? Adakah anda mahu terus merungut (seperti yang penulis cuba lakukan) dan tidak mahu melakukan apa-apa?

Banyak cara yang boleh anda lakukan. Inilah masanya anda melakukan sesuatu. Belajar cara untuk berbincang dan bernegosiasi. Belajar pelbagai cara sehinggakan cara berkonfrontasi. Anda perlu meakukan sesuatu. Jangan terus berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa, atau hanya menganggukkan kepala tanpa ada kritikan.

Persoalannya, adakah anda mahu terus merungut atau mahu merubah? Adakah anda mahu manjadi dayus atau reformis? Terpulanglah kepada anda untuk menentukan diri anda sendiri...

1 comment:

  1. Tumpang tny, mungkin bahasa perantaraan mjadi mslh dlm isu ni? Sbbnya segelintir pemimpin pljr xfasih bbhasa inggeris. Makanya apabila mreka ingin 'speak out' d hdpn org2 bsr ptadbiran universiti (swktu meeting2 dll), mereka mati kutu dan ckp entah apa2.

    Scra xlgsung, org2 bsr xkn fhm ap yg dia nk smpaikn dan mreka akn mmandang rndh dgn pmimpin2 pljr yg sdemikian.

    p/s: Sekadar inginkn kpastian

    ReplyDelete